Rokok, Rokok Elektronik Dan Shisha – Tingkatan 1

 

20120106105753877DEFINISI MEROKOK

Isu rokok dan merokok sebenarnya merupakan masalah global yang dihadapi oleh masyarakat dunia sejak beberapa tahun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Masalah tabiat merokok ini merupakan satu perkara yang amat sukar untuk di atasi, walaupun pelbagai peraturan dan undang-undang telah diperkenalkan bagi menyekat tabiat ini. Ramai orang menyedari akan bahayanya merokok. Di kotak-kotak rokok pun telah dibuat amaran dan ingatan betapa bahayanya merokok itu tetapi bilangan perokok terus saja bertambah yang melibatkan berbagai-bagai lapisan masyarakat terutama golongan remaja termasuklah pelajar.

Rokok diperbuat daripada sejenis daun tembakau yang mengandungi bahan nikotin, tar (candu) dan karbon monoksida. Ketiga-tiga bahan ini amat merbahaya kepada kesihatan tubuh badan. Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat sama ada di kampung, bandar dan sebagainya. Masyarakat atau perokok menjadikan kelakuan merokok sebagai satu cara hidup mereka.

Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

2. PUNCA KEGIATAN MEROKOK
Kegiatan merokok ini sering berlaku kepada masyarakat yang tidak mengendahkan tentang bahayanya merokok, bukan saja golongan lelaki malahan juga golongan wanita juga ada yang sudah pandai berjinak-jinak dengan tabiat merokok ini. Terdapat pelbagai punca atau faktor seseorang itu menghisap rokok antaranya,

  • KURANG IKATAN KEKELUARGAAN. Beberapa kajian telah dibuat dan mendapati bahawa peranan keluarga amat penting dalam mendidik anak-anak mereka supaya tidak terjerumus dalam masalah sosial yang sering berlaku pada anak remaja sekarang ini. Ikatan kekeluargaan yang ada sekarang ini semakin berkurangan kerana ibu bapa tidak memberikan sepenuh perhatian kepada anak mereka kerana mereka sering saja sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Hal ini menyebabkan anak-anak merasa bosan dan kurang kasih sayang daripada ibu bapa sehingga anak-anak mereka menjadi penghisap rokok kerana tidak seorang pun yang melarang perbuatannya itu.
  • TERLALU BEBAS. Punca seterusnya, tingkah laku anak-anak mereka, terutama yang telah mencapai umur belasan tahun sekarang ini, seolah-olah di luar kekuasaan ibu bapa. Anak-anak remaja terlalu diberi kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan setiap aktiviti. Jadi anak tersebut melakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan larangan ibu bapa.
  • IBU BAPA MENGHISAP ROKOK. Selain itu, ada ibu bapa yang menghisap rokok di depan anak-anak mereka. Ini bukan saja menunjukkan contoh yang kurang baik, malah mengajar dan menggalakkan anak-anak mereka supaya berbuat perbuatan yang sedemikian kerana ibu bapa mereka juga melakukan hal yang sama.
  • PERGAULAN DAN PENGARUH RAKAN-RAKAN. Pengaruh dan pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok juga merupakan faktor penggalak bagi remaja untuk menghisap rokok kerana jika mereka tidak merokok, mereka akan disisihkan dan dianggap tidak berani.
  • INGIN MENCUBA DAN BERSERONOK. Mereka juga terdorong oleh perasaan ingin mencuba bagaimana rasanya rokok itu kerana golongan remaja sinonim dengan sikap mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Bagi remaja khususnya lelaki menganggap dengan merokok dapat menunjukkan kedewasaan atau kematangan mereka sebab itulah mereka merasa bangga apabila menghisap rokok. Ada juga remaja lelaki yang beranggapan mereka merokok sekadar untuk berseronok saja tanpa memikirkan kesan buruk akibat tabiat merokok. Manakala lelaki dewasa merokok kerana sifat ketagihan mereka sehingga ada yang berpendapat rokok sahabat atau kekasih kedua mereka.
  • ROKOK MUDAH DIPEROLEHI. Ada juga berpendapat rokok mudah dibeli disebabkan itu remaja mula dan meneruskan tabiat merokok setiap hari dan juga rokok itu mudah diperolehi dari rakan-rakan yang merokok.
  • TERTEKAN. Tabiat merokok ini juga berlaku apabila merasa tertekan dengan kerja dipejabat atau sekolah, mengantuk dan apabila tiada keyakinan diri terhadap sesuatu perkara.
  • PENGARUH MEDIA MASSA DAN GOLONGAN BERPENGARUH. Selain itu, pengaruh daripada media massa juga memainkan peranan yang penting seperti disiarkan iklan orang merokok dan sebagainya kerana golongan remaja ini mudah terikut-ikut dengan budaya yang diperlihatkan kepada mereka. Golongan berpengaruh seperti ahli politik, artis, doktor dan termasuk pemimpin agama yang merokok memberikan teladan yang negatif kepada masyarakat, ini menyebabkan golongan remaja semakin rancak atau tanpa segan silu menghisap rokok di tempat-tempat awam.
  • GALAKAN PENJUAL ROKOK. Langkah penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun adalah lemah atau gagal kerana penjual rokok hanya ingin mengaut keuntungan dalam perniagaan, oleh itu akibat buruk dari perbuatan remaja menghisap rokok tidak dihiraukan. Ini menunjukkan penjual seolah-olah memberi galakan kepad perokok untuk merokok dengan lebih giat lagi. Walaupun penjual tahu pembeli itu di bawah umur tetapi tetap juga dijual kepada pembeli tersebut tanpa menghiraukan larangan kerajaan tentang larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun.
  • MEMBERONTAK ATAU MARAH. Ada juga remaja atau pelajar yang memberontak seperti marah atau tidak puas hati terhadap guru dan sebagainya akan menghisap rokok kerana bagi mereka rokok itu dapat menghilangkan tekanan.
  • MENGURANGKAN BERAT BADAN. Manakala, bagi golongan remaja wanita merokok dapat mengurangkan berat badan bagi yang mementingkan penampilan mereka. Oleh yang demikian, mereka percaya bahawa merokok dapat mengurangkan berat badan mereka. Hal ini disebabkan bagi mereka merokok dapat mengawal selera makan jadi bentuk dan berat badan mereka dapat dikekalkan. Selain itu, golongan wanita hari ini mahu memperjuangkan persamaan taraf. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri mereka setaraf dengan lelaki. Mereka percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Menjadi kebanggaan golongan wanita jika mereka dapat melakukan apa saja yang dilakukan oleh lelaki. Walaupun golongan wanita ini tahu perkara merokok itu merosakkan kesihatan atau tubuh badan mereka.

3. ROKOK

Rokok merupakan silinder dari kertas berukuran panjang antara 70 hingga 120 mm (variasi bergantung kepada negara) dengan diameter sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dicincang. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain. Terdapat dua jenis rokok, iaitu rokok yang bertapis dan tidak bertapis. Rokok yang bertapis dibuat daripada bahan busa serabut sintetik yang berfungsi untuk menyaring nikotin. Rokok biasanya dijual dalam bungkusan berbentuk kotak atau kemasan kertas yang dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam kantung.

Kebelakangan ini, bungkusan-bungkusan tersebut juga umumnya disertai dengan pesanan kesihatan yang memperingatkan perokok akan bahaya kesihatan akibat merokok, misalnya kanser paru-paru atau serangan jantung. Manusia terawal di dunia yang merokok adalah suku bangsa India di Amerika. Mereka merokok untuk memuja dewa atau roh. Pada abad 16, ketika bangsa Eropah menemukan benua Amerika, sebahagian dari para penjelajah Eropah terikut untuk menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah. Kemudian kebiasaan merokok mulai muncul di kalangan bangsawan Eropah. Berbeza dengan bangsa India yang merokok untuk keperluan pemujaan, orang Eropah merokok hanya untuk kesenangan semata-mata. Pada abad ke-17 para pedagang Sepanyol membawa masuk rokok ke Turki dan mulai saat itu, ia terus menular ke negara-negara Islam.

Bahan kimia di dalam rokok

 

kandunganrokok12

 

Ini adalah beberapa bahan kimia yang terkandung di dalam rokok: Nikotin, kandungan yang menyebabkan perokok merasa tenang. Tar, yang terdiri daripada lebih daripada 4000 bahan kimia yang mana 60 bahan kimia di antaranya bersifat karsinogen. Sianida, sebatian kimia yang mengandungi kumpulan cyano. Benzene, juga dikenali sebagai bensol, bahan kimia organik yang mudah terbakar dan tidak berwarna. Cadmium, logam yang sangat beracun dan radioaktif. Metanol (alkohol kayu), alkohol yang paling mudah yang juga dikenali sebagai metil alkohol. Asetilena, merupakan sebatian kimia tak tepu yang juga merupakan hidrokarbon alkuna yang paling sederhana. Amonia, boleh ditemui di mana-mana, tetapi sangat beracun dalam kombinasi dengan unsur-unsur tertentu. Formaldehid, cecair yang sangat beracun yang digunakan untuk mengawetkan mayat. Hidrogen sianida, racun yang digunakan sebagai fumigan untuk membunuh semut. Zat ini juga digunakan sebagai bahan pembuat plastik dan racun perosak. Arsenik, bahan yang terdapat dalam racun tikus. Karbon monoksida, bahan kimia toksik yang ditemui dalam asap buangan kereta

Penggunaan
Kira-kira 5.5 trilion rokok dihasilkan secara global pada setiap tahun dan dihisap oleh lebih 1.1 bilion penduduk atau lebih besar daripada satu per enam bagi penduduk dunia. Manakala kadar-kadar merokok telah mendatar atau menurun di negara-negara maju, mereka terus naik di bahagian yang sedang membangun dalam dunia. Kadar merokok di Amerika Syarikat telah jatuh separuh dari 1965 hingga 2006 jatuh daripada 42% ke 20.8% untuk orang dewasa. Dalam pembangunan dunia, penggunaan tembakau sedang meningkat 3.4% pada setiap tahun.

Bahan kimia yang terkandung dalam rokok

Ini adalah beberapa bahan kimia yang terkandung di dalam rokok: Nikotin, kandungan yang menyebabkan perokok merasa tenang. Tar, yang terdiri daripada lebih daripada 4000 bahan kimia yang mana 60 bahan kimia di antaranya bersifat karsinogen. Sianida, sebatian kimia yang mengandungi kumpulan cyano. Benzene, juga dikenali sebagai bensol, bahan kimia organik yang mudah terbakar dan tidak berwarna. Cadmium, logam yang sangat beracun dan radioaktif. Metanol (alkohol kayu), alkohol yang paling mudah yang juga dikenali sebagai metil alkohol. Asetilena, merupakan sebatian kimia tak tepu yang juga merupakan hidrokarbon alkuna yang paling sederhana. Amonia, boleh ditemui di mana-mana, tetapi sangat beracun dalam kombinasi dengan unsur-unsur tertentu. Formaldehid, cecair yang sangat beracun yang digunakan untuk mengawetkan mayat. Hidrogen sianida, racun yang digunakan sebagai fumigan untuk membunuh semut. Zat ini juga digunakan sebagai bahan pembuat plastik dan racun perosak. Arsenik, bahan yang terdapat dalam racun tikus. Karbon monoksida, bahan kimia toksik yang ditemui dalam asap buangan kereta.

 

4. ROKOK ELEKTRONIK

4c6f33a6570d7.preview-620
Rokok elektronik ataupun e-rokok adalah satu percubaan untuk menghasilkan sejenis rokok yang kononnya mampu mengurangkan kadar penagihan rokok sedia ada yang dihasilkan menggunakan tembakau. Tembakau adalah faktor utama masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.

E-rokok dikatakan selamat digunakan kerana tidak mempunyai kandungan tembakau. Walaupun rasanyanya agak sama seperti merokok rokok asli, ia tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon monoksida dan sudah tentu tidak menghasilkan abu. Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila menginjak dewasa. Sehubungan itu, pelbagai kaedah dicipta termasuklah rokok elektronik ini bagi membantu perokok. Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik.

E-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi tahukah anda cecair nikotin juga terkandung di dalam e-rokok? Kandungan nikotin akan meningkatkan ketagihan untuk merokok. Ini menunjukkan e-rokok yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone adrenalin serta melambatkan sistem saraf.

Nikotin boleh memberi tindak balas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh pelbagai faktor lain. Ia mempunyai nikotin bervariasi seperti nikotin pelarut, propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya kanser. Satu kajian saintifik mendapati rokok-e mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.

China sebagai penemu awal rokok elektronik ini pada tahun 2003 juga melarang penggunaan rokok ini kerana dipercayai menjejaskan kesihatan. Ia juga didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah sehingga mewujudkan peningkatan mendadak dalam rintangan udara paru-paru. Alat elektronik ini diimport dari China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai.

Rokok elektronik mempunyai bateri, atomizer, dan katrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pergerakan udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok itu. Nikotin cair dan udara kemudiannya akan dicampurkan menerusi atomizer yang dihidupkan oleh microprocessor. Proses ini akan menghasilkan wap yang kelihatan sama dengan asap rokok biasa. Ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau. E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika dinyalakan oleh microprocessor, yang kelihatan seperti rokok yang terbakar ketika dihisap.
Di sebalik kecanggihan penciptaan rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika dikaji bahan-bahan yang menghasilkan proses pengewapan sepertimana yang di atas.

 

5. SHISHA

shisha_pipe_hookah_pipe

 

Apakah Sebenarnya Shisha?

Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buah-buahan ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha

Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal dan ‘ajami. Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.

Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha

Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.

Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.

Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.

Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:

Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.

Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan boleh membawa maut.

Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.

Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

Kesan Shisha

a. Ancaman kanser
Arang yang digunakan untuk tembakau haba dalam paip meningkatkan risiko kesihatan dengan menghasilkan tahap karbon monoksida, logam, dan bahan kimia penyebab kanser. Walaupun selepas ia telah melalui air, asap yang dihasilkan oleh paip yang mengandungi tahap bahan toksik, termasuk karbon monoksida, logam berat, dan bahan kimia penyebab kanser. Tembakau paip dan asap mengandungi banyak bahan-bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan paru-paru, pundi kencing, dan kanser mulut.

Rangsangan ke mulut daripada pendedahan kepada jus tembakau meningkatkan risiko mendapat kanser mulut. Kerengsaan dengan produk jus tembakau mungkin lebih tinggi di kalangan perokok paip daripada kalangan paip atau cerut perokok kerana merokok paip biasanya diamalkan (dengan atau tanpa sedutan) lebih kerap dan untuk tempoh yang lebih lama.

b. Penyakit jantung
Tembakau paip dan asap mengandungi banyak bahan-bahan toksik yang diketahui menyebabkan arteri tersumbat dan penyakit jantung.

c. Selesema
Perkongsian paip merokok meningkatkan risiko batuk kering dan selesema.

d. Asap rokok

Asap rokok daripada shisha menimbulkan risiko yang serius untuk bukan perokok, terutama kerana ia mengandungi bukan sahaja asap daripada tembakau tetapi juga dari sumber haba (contohnya, arang) yang digunakan dalam paip.

6. KESAN DARIPADA KEGIATAN MEROKOK (rokok, rokok elektronik, shisha)

Pelbagai pendapat membuktikan bahawa rokok itu membahayakan kesihatan manusia. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di “kamar gas maut” bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, racun paling penting atau yang paling merbahaya adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Nikotin pula seperti dadah heroin, amfetamin dan kokain yang bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding dadah. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang ketagihan dengan merokok meninggalkan tabiat itu untuk selamanya kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Selain memberi sifat ketagihan bahan nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung, strok, urat saraf, mengecutkan saluran darah yang menyebabkan tekanan tinggi darah, simptom kebas kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati dan kekejangan otot.

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ia menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ia akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan. Oleh itu, karbon monoksida boleh mengakibatkan sakit jantung, barah paru-paru, sakit tenggorok dan kembang paru-paru.

Racun rokok akan disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan yang ditelan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu. Merokok juga membolehkan seseorang lelaki itu mati pucuk.

Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya juga membahayakan kerana ia akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima. Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan dan ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.

Kesan asap rokok terhadap ibu mengandung pula ialah seperti melahirkan bayi yang kurang berat badan, melahirkan bayi yang tidak cukup bulan, ibu itu lebih terdedah kepada kanser, mengurangkan kesuburan dan putus haid awal. Manakala kesannya terhadap anak yang masih kecil ialah anak itu lebih mudah mendapat lelah, mendapat jangkitan paru-paru, pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu dan mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak.

Harga rokok sekarang semakin mahal dan seseorang itu sanggup mengeluarkan wang yang banyak hanya untuk membeli rokok yang tidak mendatangkan nilai. Ini bermakna seseorang itu akan membazirkan wangnya seperti pelajar membelanjakan wang perbelanjaan sekolah yang diberikan oleh ibu bapanya untuk membeli rokok, sedangkan wang itu untuk perbelanjaannya membeli makanan di sekolah.

Merokok dikalangan wanita sebenarnya memberikan kesan yang teramat buruk dikalangan wanita. Perokok wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk dijangkiti kanser paru-paru, payu dara, barah rahim, servik dan kolon serta kadar kesuburan 30 peratus lebih rendah berbanding wanita yang tidak merokok. Bagi wanita yang merokok pula rook itu akan merosakkan kulit mereka yang halus bukan seperti yang mereka harapkan iaitu mengurangkan berat badan mereka.

Bagi ibu mengandung yang merokok akan menyebabkan berat bayi kemungkinannya tiga kali lebih rendah daripada bayi normal dan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kehidupan. Kualiti susu badan juga berkurangan jika bakal-bakal ibu itu mula merokok semasa bayi dalam kandungan. Selain itu, juga boleh menyebabkan mereka keguguran.

Ukuran sebatang rokok yang dihisap ialah 0.5 cm dan jika 20 batang yang dihisap sehari akan bersamaan panjang satu meter. Jika seorang perokok itu merokok lebih banyak dan terlalu berat, semakin panjang batang rokok yang mereka ambil, maka semakin pendek umur mereka akibat penyakit yang diundang. Berbanding dengan mereka yang tidak merokok akan lebih panjang umur mereka.

Oleh itu, dari bahaya rokok atau bahan-bahan dalam rokok itu dapat meninggalkan kesan yang buruk kepada pengamal tabiat merokok itu seperti yang dinyatakan di atas pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi oleh perokok. Antara jenis penyakit itu ialah janutng, barah paru-paru, barah rahim, mati pucuk dan sebagainya. selain itu, rokok itu juga membahayakan kepada ibu mengandung kerana bayi yang dilahirkan akan mendapat lelah, berat badannya lebih rendah dari bayi yang normal dan berkemungkinan mendapat penyakit, mati pada tahun pertama kehidupannya dan sebagainya.

7. CARA MENCEGAH REMAJA TERUBAT

Walaupun pelbagai penyakit atau bahaya rokok itu telah didedahkan kepada mereka yang merokok atau masyarakat umum tetapi gambaran itu masih tidak cukup untuk menakutkan seorang perokok untuk mengurangkan jauh sekali meninggalkan tabiat berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah takut dengan ancaman itu, malah langsung tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan mereka hadapi untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian, pihak-pihak tertentu terpaksa berusaha lebih gigih untuk mengurangkan atau mengelakkan masyarakat terutama golongan remaja termasuklah pelajar supaya berhenti merokok.
Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan ialah:-

1. KEMPEN
Pelbagai kempen dijalankan untuk mengatasi masalah merokok baik oleh kerajaan mahupun pihak persendirian. Misalnya, kerajaan telah mengadakan kempen anti merokok melalui pelbagai cara seperti iklan-iklan yang ditayangkan di dalam televisyen, radio, poster-poster mahupun ceramah yang sering diadakan di sekolah mahupun di pejabat dan sebagainya.

2. CERAMAH
Dalam ceramah mahupun iklan itu hendaklah dinyatakan tentang bahayanya merokok, kesan merokok serta dinyatakan faedah orang yang tidak merokok atau berhenti merokok seperti hidup lebih lama, dapat menghindari racun yang terkandung dalam rokok, dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok, menjadi teladan yang baik kepada anak-anak, dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat, meningkatkan deria rasa dan bau, gigi lebih putih dan nafas lebih segar dan dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.

3. KUAT SEMANGAT DAN BERDISIPLIN
Seseorang itu mestilah kuat semangat dan mendisiplinkan diri untuk berhenti merokok seperti tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, yakinkan diri, buat nota peringatan, katakan pada diri anda, “Aku bukan perokok”, tumpukan pada hari ini jangan dulu fikirkan hari seterusnya, sentiasa berfikiran positif, dapatkan sokongan daripada orang sekeliling seperti rakan sebaya, ibu bapa atau keluarga, lawan keinginan atau perasaan untuk merokok dan gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai.

4. BERPUASA
Amalan berpuasa dari pandangan Islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat. Apabila berpuasa seseorang itu tidak dapat merokok sekurang-kurangnya 13 jam iaitu dari subuh hingga ke waktu maghrib. Walaupun masih berpelung untuk merokok pada waktu malam jika selalu berpuasa, seseorang itu tidak hanya dapat menghentikan tabiat merokok tetapi kita juga dapat beribadah ke jalan Allah.

5. HADIAH ATAU HABUAN
Seseorang itu hendaklah beri hadiah atau habuan kepada diri sendiri sekiranya dia tidak lagi merokok. Ini untuk mendapatkan kepuasan hasil dari pemberhentiannya merokok.

6. BERSUKAN ATAU AKTIVITI BERFAEDAH
Selain itu, individu yang aktif bersukan selalunya menitik beratkan kesihatan tubuh badan dan menghindari tabiat yang boleh merosakkan diri mereka seperti merokok. Pilih aktiviti sukan yang sihat dan lakukan dengan berkumpulan untuk menambah keseronokan dan motivasi diri. Oleh itu, perokok hendaklah melakukan aktiviti sukan ini kerana ia dapat menghindarkan dirinya dari tabiat merokok.

7. SERTAI PROGRAM SUKARELA
Sertai program-program sukarela seperti di hospital dan persatuan kebajikan untuk melupakan tabiat merokok ini sambil mengambil iktibar dan bersyukur dengan kesihatan diri kita. Jika seseorang itu sibuk dengan aktiviti atau kerja yang dilakukannya, dia akan lupa untuk menghisap rokok kerana tidak ada masa untuk menghisap rokok. Bagi ibu yang mengandung pula hendaklah didedahkan kepada iklan-iklan tentang pentingnya menjaga bayi yang dikandungnya dan dedahkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan keadaan bayinya mahupun kesiahtan dirinya sendiri.

8. PELAJAR DIKENAKAN DENDA
Manakala, bagi pelajar di sekolah pula hendaklah dikenakan dendaan yang setimpal kepada mereka yang didapati merokok seperti pelajar yang merokok itu akan diadukan kepada pihak polis dan pihak polis akan mendenda mereka. Ini adalah kerana pihak polis bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin pelajar. Ibu bapa juga akan dipanggil untuk memberitahu perihal anak mereka yang merokok. Pelajar yang merokok itu juga akan dirujuk kepada guru kaunseling untuk menanyakan kenapa dia merokok.

9. KUATKUASA UNDANG-UNDANG
Di negara Malaysia, kerajaan telah pun menetapkan undang-undang iaitu tidak membenarkan sesiapa saja untuk merokok di kawasan-kawasan tertentu seperti dalam panggung wayang, rumah sakit, sekolah, pejabat dan di kawasan awam yang tertentu. Denda akan dikenakan kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang tersebut. Penjual rokok di kedai juga tidak menjual rokok kepada remaja yang berumur di bawah lapan belas tahun. Sesiapa yang didapati berumur di bawah lapan belas tahun akan dikenakan denda yang setimpal. Pihak-pihak yang berkenaan juga diharap akan dapat bekerjasama dalam membanteras tabiat merokok ini, dengan tidak menjual kepada pembeli yang di bawah umur dan jangan hanya memikirkan keuntungan saja.

 

KESIMPULAN
Merokok merupakan satu kegiatan yang sukar untuk dibanteras. Walaupun bahaya merokok amat ketara dan besar pengaruhnya terhdap masyarakat, dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial teapi merokok masih tetap menjadi satu amalan masyarakat yang sukar untuk di atasi. Oleh itu, berbagai-bagai langkah atau cara telah dilakukan untuk mengatasi masalah merokok ini. Semua pihak diharapkan memberikan kerjasama untuk menjayakan langkah-langkah yang telah disediakan oleh pihak-pihak tertentu.

 

 

 

 

 

3 thoughts on “Rokok, Rokok Elektronik Dan Shisha – Tingkatan 1

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: